Aug 18, 2011

Jin Makan Sup Tulang

Persepsi masyarakat melayu umum: "Jangan hisap rokok woi, asap tu makanan jin!". Ayat yang selalu kita dengar diucapkan oleh sahabat sahabat kita yang tidak menghisap rokok. Bila ditanya mengapa, jawabnya: "Kan ustaz dan ulamak semua kata jin makan asap, terutama asap kemenyan. Kau tak tahu ilmu agama ke?"

Ungkapan ayat sebegini yang menunjukkan betapa rendahnya mentaliti serta ilmu pengetahuan sebilangan besar manusia, justeru juga menaikkan darah aku dalam kadar yang cepat. Tetapi ianya juga menimbulkan kesedihan didalam diri aku. Manusia manusia yang diberi gelaran 'ustaz' dan 'ulama' ini semua tak kaji ke Al Quran serta hadis hadis yang ada sebelum mengatakan bahawa asap itu adalah makanan jin? Sedih aku melihatnya.

Apa yang dinyatakan mengenai jin dan pemakanan mereka? Kita rujuk semula kepada hadis yang ada. Contoh, shahih Al Bukhari mengenai salah satu hadisnya. Dipendekkan cerita didalam bahasa pasar: Nabi Muhammad SAW nak buang air besar, si Abu Hurairah bawakan batu, tulang serta kotoran haiwan pada Baginda tapi dia cuma mengambil batu. Kata Baginda: "Huma min thaamil jin (keduanya adalah makanan jin)".

Jin pun boring jugak makan tulang dengan najis. Jin pun ada makan pizza, nasi ayam, kari kepala ikan dan yang sewaktu dengannya. Ini adalah kerana: "Siapa yang makan dengan tangan kirinya, maka setan akan makan bersamanya" Hadis riwayat Imam Ahmad. Sebab tu nak makan, kita diajar supaya membaca Bismillah (dengan nama Allah) dan membaca doa makan! Ingat suka suka ye baca bismillah tu?

Bila sampai disini hujahku yang bertulang belakangkan hadis dan fakta yang soheh, orang selalu bertanya: "Habis tu asap kemenyan tu makanan jin kan? Sebab banyak dukun dan bomoh pakai asap kemenyan".

Allah SWT memberikan kita akal dan fikiran. Gunakanlah dengan sebaiknya. Sebelum membuat dakwaan sebegitu, kajilah sejarah, kajilah tamadun Islam sedunia, telaah sifat dan cara hidup Muhammad SAW. Jikalau kita hidup hanya mendengar dan mengikut seperti lembu diikat tali memanglah tak kemana hidup ni. Luaskan pemahaman dan pembelajaran kita, jangan hadkan hanya di dalam negara dan adat kita sahaja. Knowledge is power!

Adakah anda semua tahu bahawa Nabi Muhammad menggemari bau kemenyan? Ya, dicatat didalam mana mana sejarah kehidupan Muhammad bahawa Baginda menggemari bau bauan seperti kemenyan, kayu gaharu dan pembakaran bahan dupaan. Malah, Baginda mewariskan kegemarannya itu kepada para sahabat turun temurun. Sebab itu upacara membakar kemenyan masih lagi diadakan di tanah arab dan juga indonesia. Contoh? Di makam makam wali Islam selalu dibakar kemenyan dengan tujuan untuk kewangian. Upacara Islamik iaitu doa sembah bumi yang dikhususkan penggunaan ayat Al Quran juga menggunakan bauan kemenyan sebagai pewangi.

Tak payah tengok jauh la. Di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi pun ada ramai peniaga yang menjual kemenyan dan tempat pedupaan serta kayu gaharu. Diorang tak kecoh pasal syirik pun.

Persoalan: Kenapa Nabi Muhammad memilih kemenyan dan bau bauan begitu? Dan bila Baginda menggunakannya?

Bukalah buku sejarah. Baginda suka membakar kemenyan ketika ada kematian, majlis keramaian ataupun ketika Baginda sedang duduk berehat bersama sahabat. Kenapa? Sebab tanah Arab panas berdebu berpasir, orang Arab banyak berpeluh dan berbau maka mereka suka bau bauan. Nak mandi 4-5 kali sehari, air adalah sumber yang berharga disana waktu itu. Salah satu sebab mengapa Baginda kata jangan membazir air, sebab disana air susah nak dapat.

Tak semua pawang atau bomoh yang menggunakan kemenyan itu mengamalkan ilmu syirik atau ilmu hitam. Jangan terlalu mudah dan cepat untuk melatah. Persoalan ini akan saya kupaskan di tampalan akan datang.

Kalau jin makan asap, sudah tentu banyak jin yang melekat kat ekzos kereta, corong asap kilang, tempat dapur dimana mak atau isteri anda memasak, dan tempat tempat yang mengeluarkan asap. Tak masuk akal kan kalau difikirkan secara logik?

Sekarang anda sudah tahu, sebarkan kepada sahabat sahabat lain agar persepsi dan tanggapan yang salah ini diperbetulkan. Kita sama sama manfaat.

Allah Maha Besar

Sent from my BlackBerry® Torch 9800 smartphone

Aug 7, 2011

Pengeras Ribuan Ringgit

Terasa ingin saya berkongsi sebuah cerita disini, mengenai salah seorang pesakit saya (nama samaran Fahmi) meluahkan perasaan terkejut apabila dia bertanyakan soalan mengenai pengeras kepada saya 3 bulan dahulu.

Fahmi: Berapa pengeras yang harus saya bayar kepada Encik Adam diatas pertolongan yang encik berikan kepada saya dan keluarga saya?

Saya: Tak banyak. Belanja saya makan pun sudah lebih daripada mencukupi.

Fahmi: Hah?? Biar betul? Belanja makan sahaja? Susah nak percaya ni, encik!

Betul lah tu, Fahmi. Saya nak menipu awak untuk apa?

Saya difahamkan bahawa sebelum ini Fahmi dan keluarganya telah banyak mencari pertolongan daripada pengubat pengubat tradisional lain selama sembilan tahun. Dia yang dahulunya seorang millionaire berumah banglo mewah kini terpaksa menetap di flet perumahan kos rendah.

"Betul Encik Adam, saya dah beratus ribu ringgit berhabis untuk mengubatkan isteri saya kerana penyakit misteri. Segala doktor pakar kulit saya dah jumpa. Semua tak dapat mengesan apa punca penyakit dia. Saya cuba berubat kampung, dimana ada pengubat handal saya bawak bini saya. Masa tu duit banyak jadi wang tak menjadi masalah".

Sambungnya, "Ada satu pengubat di Kedah meminta saya membayarnya RM25,000 untuk cuba mengubati bini saya. Duit banyak dan isteri sakit punya pasal, saya pun bayar lah. Sakitnya tak hilang, makin teruk adalah. Duit pun burn".

Sebenarnya perkara perkara seperti ini telah banyak saya dengar daripada kebanyakan mulut pesakit pesakit saya. Ini bukan yang pertama dan sudah tentunya bukan yang terakhir saya dengar mengenai perkara ini.

Masyarakat yang tidak tahu menahu mengenai perkara perkara seperti ini selalu tertipu dengan pengubat pengubat seperti ini. Harus difahamkan disini bahawa banyak pengubat yang auta dan memakan duit sehingga ratusan ribu ringgit. Terdesak dengan keadaan yang kritikal, pesakit akan membayar dan memenuhi syarat syarat yang ditetapkan oleh pengubat penipu seperti ini.

Ilmu yang diberikan oleh Allah SWT ini adalah satu kelebihan yang harus digunakan untuk tujuan yang baik. Tidak sepatutnya digunakan untuk menipu atau mengaut keuntungan. Setiap perbuatan atau pertolongan yang ikhlas akan diberikan ganjaran yang lebih oleh Allah SWT, walau sebesar zarah pun. Yang penting, niat kita untuk membantu.

Jikalau pesakit mampu dan memberi sedikit wang atau makanan, terima sahaja. Jikalau pesakit tidak mampu, jangan meminta apa apa.

Bayangkan, bagaimana jika sebuah keluarga yang miskin dan daif diminta membayar upah yang melampau lampau? Bukankah itu sudah menjadi satu bebanan yang berlebihan kepada mereka?

Minggu lepas Fahmi menelefon saya. Katanya isteri dia sudah beransur pulih sikit demi sikit selepas sembilan tahun merana. Alhamdulillah. Bukan untuk membongkak, tetapi itupun saya meminta bayaran makan megi goreng sepinggan dan menanggung kos perbelanjaan saya kesana kerana Fahmi mampu menanggungnya.

Allah Maha Besar, Maha Pengasih dan Maha Mengetahui.

Sent from my BlackBerry® Torch 9800 smartphone