Oct 20, 2012

Toyol Untuk Disewa (Underground Market)

"Dah berapa lama kau buat kerja ni?" tanya aku kepada lelaki yang mencangkung dihadapan aku.

"Baru lagi bang, dalam agak agak setahun jugak lah" jawabnya menggigil.

Didalam tangan aku masih lagi memegang botol kosong yang berisi barang miliknya. Aku pandang kiri dan kanan, orang sudah makin ramai yang mengerumuni kumpulan kami yang mulanya kecil kini makin besar. Kemarahan mereka jelas dapat aku rasakan.

"Dah berapa banyak duit kitorang yang kau curik selama ni??" tanya seorang lelaki berbadan besar dalam nada marah.

"Tak banyak bang. Baru RM50,000" jawabnya.

"Itu kau cakap tak banyak?! Huh!!" PANG! Satu penerajang Masked Rider hinggap di muka lelaki tersebut. Dia terjatuh lalu bangun semula terhuyung hayang. Pening agaknya kepala kena terajang.

Aku sambung bertanyakan lagi soalan kepadanya; "Sebelum ni di kawasan mana lagi kau buat aktiviti haram jadah kau dalam waktu setahun ni?"

Jawabnya: "Sebelum ni saya buat kat *******, Cheras, bang. Kemudian saya tukar pula ke *******, Puchong. Lepas tu saya tukar pula kesini. Kat sini pun saya baru je buat selama 3 bulan".

Aku tengok keadaan sekeliling, orang sudah makin ramai mengerumuni kami. Ada yang bawa besi, kayu, helmet dan bermacam macam lagi senjata. Parang je aku belum nampak lagi. Pihak polis masih lagi belum tiba di lokasi kejadian. Nak tak nak, aku kena cepat bawa lelaki ini ke tempat yang lebih selamat. Kalau tak memang naya budak ni kena tibai dengan penduduk kawasan ini.

Aku tanya lagi: "Dalam setahun ni dah berapa banyak keuntungan yang kau kutip?"

"Tengok tempat juga bang. Sejak saya ambik benda ni dari owner dia kat ******* dulu, adalah saya untung dalam RM100,000 lebih. Dalam 60% saya bagi kepada owner dia" jawabnya dalam ketakutan.

Sampai disini confirm korang semua tak faham sangat apa yang sedang berlaku. Mari aku terangkan apa yang berlaku sebenarnya.

Budak yang kena tangkap ni berumur dalam lingkungan 25 tahun. Pada waktu pagi kerja hariannya ialah seorang mat despatch di Kuala Lumpur. Kenderaan yang dipakainya ialah motorsikal berkuasa tinggi berjenama Ducati. Agak pelik juga bagaimana seorang mat despatch boleh pakai motor mahal sebegitu. Waktu pagi dia jadi rider tapi pada waktu malam dia buat kerja sampingan.

Dia pakai perkhimatan Toyol Sewa untuk side income.

Kes seperti ini jarang kita dengar kerana tidak ramai yang tahu mengenai perkhidmatan Toyol Sewa ini. Tetapi hakikatnya didalam underground market memang banyak perkhidmatan ilmu ghaib seperti ini ditawarkan kepada orang ramai, cuma kena tahu cari dimana dan bagaimana sahaja (dah nama pun underground market).

Mari saya terangkan bagaimana Modus Operandi (MO) Toyol Sewa ini berlaku.

Owner Toyol

Katakanlah saya owner kepada 10 ekor toyol dirumah. Setiap minggu saya akan memberi mereka makan sekali dalam seminggu. Cara pemakanan ialah membiarkan mereka menghisap darah melalui ibu jari kaki saya setiap malam Jumaat. Kalau 10 ekor nak diberikan makan, dalam masa 3 bulan mampus mati kering jawabnya kan? Lagipun nak buat apa dengan toyol banyak banyak sebegitu?

Maka dengan itu, saya akan sewakan toyol tersebut kepada sesiapa yang ingin menggunakannya. Syaratnya mudah sahaja:

1. Beri makan kepada toyol tersebut sepanjang waktu ianya disewakan.
2. Segala keuntungan akan diberikan kepada saya sebanyak 50% - 60% (mengikut citarasa saya).
3. Bila sudah cukup keuntungan dan masa, toyol tersebut hendaklah dipulangkan semula kepada saya.

Mudah sahaja kan? Bela 10 ekor toyol dan sewakan kepada orang. Boleh duduk rumah goyang kaki beb, tak payah bekerja.

Penyewa Toyol

Katakanlah pula disini, korang tengah sesak nak pakai duit. Bini nak langsir baru ke, girlfriend paksa nak kahwin ke, korang kawin 4 dan tak mampu nak tampung perbelanjaan rumah ke (padanlah muka korang kan), maka korang datang kepada aku untuk menyewa toyol toyol kesayangan aku.

Jadi korang datang kepada aku dengan niat untuk sewa. Kos untuk sewa ialah 60% daripada jumlah yang ingin korang curi. Misalannya: korang nak curi RM10k, maka sewa untuk toyol itu ialah RM6k yang harus dibayar kepada aku. Jangkamasa untuk penyewaan toyol itu selalunya akan diberi dalam masa 3 - 6 bulan. Apa yang korang perlu lakukan ialah:

1. Bagi toyol tu makan seminggu sekali
2. Capai jumlah yang ingin dicuri (macam nak achieve KPI lah gitu)
3. Cukup masa, 'benda' tersebut harus dipulangkan semula

Sebab itulah mat despatch pun boleh pakai motor Ducati beb. Tiap tiap hari bangun pagi je dah ready ada duit bawah bantal. Tapi sanggup ke korang nak biarkan ada budak kecik warna hijau datang waktu malam hisap ibujari kaki korang waktu tengah malam? Hehe.

Jangan pula korang email / contact aku untuk sewa toyol. Aku cuma buat pendedahan sahaja. Tetapi kes ini lain daripada kes toyol yang pernah aku dedahkan sebelum ini. Jika korang belum membacanya, klik di link ini.

Budak yang ditangkap kerana menyewa toyol tu dah diserahkan kepada pihak polis. Manakala toyol yang dia sewa dan aku tangkap tu akan aku cari dimana owner sebenarnya. Bukan susah nak dicari, rebuskan sahaja toyol tu.

Ingatlah, kalau duit boleh senang senang dapat, takde guna orang kerja membanting tulang empat kerat dan orang belajar tinggi tinggi untuk mendapat kerja yang bagus.

Semoga pengalaman ini dapat dijadikan iktibar kepada semua.

Oct 19, 2012

Penunggu Surau

Ketika sedang duduk meminum kopi dan menghisap rokok Benson aku menerima satu panggilan telefon daripada seorang sahabat lama. Mohd Iqbal namanya, tetapi dikalangan sahabat kami memanggilnya sebagai Panther.

"Aku nak sampaikan pesan orang masjid disini kepada kau, nak meminta tolong kau tengokkan kawasan surau disini. Asyik ada gangguan sahaja", katanya.

Setelah membayar untuk minuman aku terus menggerakkan diri kesana. Apa yang Panther beritahu kepada aku sebentar tadi didalam telefon amat menarik perhatian aku. Macam tak percaya juga dengan apa yang aku dengar sebentar tadi.

Kata kata terakhir Panther kepada aku ialah "Kau datang dan tengoklah sendiri bro. Aku pun taktahu nak terangkan bagaimana".

Gambar Hiasan Sahaja

Ketika sampai di tapak lokasi, aku bertemu dan berbicara dengan imam surau dan ahli jawatankuasa yang lain. Kesemua mereka mempunyai cerita dan pengalaman tersendiri mengenai surau tersebut. Surau tersebut baru sahaja dibina dan hanya beberapa kerat penduduk kawasan itu sahaja yang kesana untuk menunaikan solat.

Bilal surau: "Pernah suatu ketika pakcik sedang sibuk mengemaskan dewan utama solat berseorangan dan masuklah tiga orang pemuda yang putih dan halus wajahnya. Mereka masuk, memberi salam dan terus menunaikan solat. Selang beberapa minit selepas itu mereka memberikan salam, pakcik menoleh kebelakang dan nampak mereka masuk kedalam satu bilik didalam surau tersebut. Sebelum sempat pakcik berkata apa apa, mereka menutup pintu bilik tersebut, Tetapi bila pakcik buka semula, mereka tiada didalam bilik. Yang peliknya, bilik tu bilik stor menyimpan barang. Bagaimana empat orang lelaki dewasa boleh memuatkan diri dan hilang dalam bilik tu?"

Imam surau: "Kejadian ini berlaku minggu lepas. Sewaktu sedang semua ingin bersiap sedia untuk menunaikan solat Zuhor saya lihat jemaah pada hari itu lebih ramai dari biasa. Saya tidak berkata apa apa kepada ahli jawatankuasa lain, cuma mengucapkan alhamdulillah kerana kebiasaannya tidak ramai yang bertandang ke surau ini untuk menunaikan solat. Walaupun ketika sedang mengangkat takbir pun kedengaran ramai yang mengikut bersolat sekali. Selepas selesai bersolat, saya toleh semula dan lihat cuma ada tidak lebih dari sepuluh orang jemaah sahaja yang ada".

Penduduk kawasan: "Memang tiap tiap malam kami akan sentiasa mendengar orang membaca Quran beramai ramai, kadangkala ada juga bunyi seperti orang sedang berzanji, bergotong royong, macam heboh betul surau tu waktu malam. Bunyinya sampai mengganggu kami disini tidur diwaktu malam. Bila saya buka tingkap sedikit untuk mengintai apa riuh rendah tu semua, saya lihat surau tu gelap je. Takkan ada orang ramai ramai mengaji dan berzanji waktu malam dalam gelap?"

Bermacam macam cerita dan dakwaan yang aku dengar pada hari itu. Mereka mengatakan ini sebagai satu gangguan. Tapi haruslah difahami bahawa ini bukan satu gangguan. Gangguan lebih menjurus kepada perkara perkara yang negatif tetapi ini tidak. Ini lebih kepada penunggu surau atau kawasan perumahan itu.

Aku lihat ini sebagai satu pengajaran dan peringatan kepada kita semua untuk lebih melibatkan diri didalam aktiviti surau dan masjid. Kita sebagai manusia dan juga umat Islam adalah ciptaan Allah SWT yang paling mulia dan dianugerahkan akal dan fikiran, juga sebagai khalifah dimuka bumi ini.

Kalau makhluk ghaib dialam lain dah bagi peringatan sebegitu, maka fikir fikirkanlah sendiri.

Hanya sebagai peringatan dan pengajaran kepada diri ini dan kepada semua.