Oct 19, 2012

Penunggu Surau

Ketika sedang duduk meminum kopi dan menghisap rokok Benson aku menerima satu panggilan telefon daripada seorang sahabat lama. Mohd Iqbal namanya, tetapi dikalangan sahabat kami memanggilnya sebagai Panther.

"Aku nak sampaikan pesan orang masjid disini kepada kau, nak meminta tolong kau tengokkan kawasan surau disini. Asyik ada gangguan sahaja", katanya.

Setelah membayar untuk minuman aku terus menggerakkan diri kesana. Apa yang Panther beritahu kepada aku sebentar tadi didalam telefon amat menarik perhatian aku. Macam tak percaya juga dengan apa yang aku dengar sebentar tadi.

Kata kata terakhir Panther kepada aku ialah "Kau datang dan tengoklah sendiri bro. Aku pun taktahu nak terangkan bagaimana".

Gambar Hiasan Sahaja

Ketika sampai di tapak lokasi, aku bertemu dan berbicara dengan imam surau dan ahli jawatankuasa yang lain. Kesemua mereka mempunyai cerita dan pengalaman tersendiri mengenai surau tersebut. Surau tersebut baru sahaja dibina dan hanya beberapa kerat penduduk kawasan itu sahaja yang kesana untuk menunaikan solat.

Bilal surau: "Pernah suatu ketika pakcik sedang sibuk mengemaskan dewan utama solat berseorangan dan masuklah tiga orang pemuda yang putih dan halus wajahnya. Mereka masuk, memberi salam dan terus menunaikan solat. Selang beberapa minit selepas itu mereka memberikan salam, pakcik menoleh kebelakang dan nampak mereka masuk kedalam satu bilik didalam surau tersebut. Sebelum sempat pakcik berkata apa apa, mereka menutup pintu bilik tersebut, Tetapi bila pakcik buka semula, mereka tiada didalam bilik. Yang peliknya, bilik tu bilik stor menyimpan barang. Bagaimana empat orang lelaki dewasa boleh memuatkan diri dan hilang dalam bilik tu?"

Imam surau: "Kejadian ini berlaku minggu lepas. Sewaktu sedang semua ingin bersiap sedia untuk menunaikan solat Zuhor saya lihat jemaah pada hari itu lebih ramai dari biasa. Saya tidak berkata apa apa kepada ahli jawatankuasa lain, cuma mengucapkan alhamdulillah kerana kebiasaannya tidak ramai yang bertandang ke surau ini untuk menunaikan solat. Walaupun ketika sedang mengangkat takbir pun kedengaran ramai yang mengikut bersolat sekali. Selepas selesai bersolat, saya toleh semula dan lihat cuma ada tidak lebih dari sepuluh orang jemaah sahaja yang ada".

Penduduk kawasan: "Memang tiap tiap malam kami akan sentiasa mendengar orang membaca Quran beramai ramai, kadangkala ada juga bunyi seperti orang sedang berzanji, bergotong royong, macam heboh betul surau tu waktu malam. Bunyinya sampai mengganggu kami disini tidur diwaktu malam. Bila saya buka tingkap sedikit untuk mengintai apa riuh rendah tu semua, saya lihat surau tu gelap je. Takkan ada orang ramai ramai mengaji dan berzanji waktu malam dalam gelap?"

Bermacam macam cerita dan dakwaan yang aku dengar pada hari itu. Mereka mengatakan ini sebagai satu gangguan. Tapi haruslah difahami bahawa ini bukan satu gangguan. Gangguan lebih menjurus kepada perkara perkara yang negatif tetapi ini tidak. Ini lebih kepada penunggu surau atau kawasan perumahan itu.

Aku lihat ini sebagai satu pengajaran dan peringatan kepada kita semua untuk lebih melibatkan diri didalam aktiviti surau dan masjid. Kita sebagai manusia dan juga umat Islam adalah ciptaan Allah SWT yang paling mulia dan dianugerahkan akal dan fikiran, juga sebagai khalifah dimuka bumi ini.

Kalau makhluk ghaib dialam lain dah bagi peringatan sebegitu, maka fikir fikirkanlah sendiri.

Hanya sebagai peringatan dan pengajaran kepada diri ini dan kepada semua.

2 comments:

Khairol said...

Salam,
Peristiwa ini pernah saya alami pada suatu masa dahulu. Ketika itu masih bujang lagi dan selalu kena pi out-station. Semasa buat kerja di Ulu Behrang, Tanjung Malim, Perak, kami dipelawa oleh seorang kenalan tinggal bersama beliau di rumahnya. Rumahnya terletak di atas sebuah bukit. Ada rumah kosong di sebelah yang sudah lama tiada berpenghuni. Kenalan ini berpesan, jika tinggal di rumah dia, sembahyang jangan tinggal. Jika sengaja tinggal sembahyang, makhluk Allah ini akan mengusik sehinggalah kita sembahyang. Kalau bernasib baik, selepas memberi salam dapat melihat bilangan jemaah yang ramai menjadi makmun kita yang berpakaian serba putih. Jika kami nak keluar makan malam, jika bernasib baik dapat melihat Pak Haji bersama anaknya berdiri di hadapan rumah sambil memandang kami keluar. Semua ini kuasa Allah...saya amat menghargai pengalaman ini.