Showing posts with label Pelaris. Show all posts
Showing posts with label Pelaris. Show all posts

Mar 4, 2014

Hasad Dengki, Tanah Kubur dan Jarum

Manusia diberikan akal dan nafsu oleh Allah SWT sejak mereka dilahirkan. Dua perkara inilah yang membezakan manusia dan binatang. Kita diberikan akal untuk berfikir supaya kita dapat mengatasi hawa nafsu.

Namun apa yang bakal terjadi apabila hawa nafsu menguasai seseorang sepenuhnya?

Beberapa hari yang lepas aku berpeluang untuk turut serta mengendalikan satu kes paranormal di sebuah kedai makan. Pemilik kedai mengadu selalu mengalami gangguan pelik, sakit lebam di tubuh badan, serta bilangan pengunjung yang semakin merosot di kedai makan beliau. Amat berbeza dari ketika mereka mula berniaga dahulu. 

Nak kata makanan kedainya tak sedap, tak mungkin. Aku sendiri yang merasa masakan di situ. Sedap.

Manakala pekerja kedainya pula kerapkali ternampak kelibat seorang sami di dalam kedai mereka. Namun apabila didekati, kelibat sami itu terus lesap. Menurut pekerja beliau, penampakan sami itu pada mulanya berlaku di luar kedai tetapi semakin hari semakin menjadi jadi. 

Apabila sesi 'pembersihan' dan 'rawatan' dilakukan, kami semua terjumpa sesuatu yang mengejutkan.





Sebuah tangkal segiempat berwarna putih ditemui di hadapan pintu kedai. Apabila dibuka, kami mendapati tangkal tersebut berisi segumpal tanah kubur dan dua batang jarum. 

Kebiasaannya, tanah kubur dan jarum digunakan untuk ritual ilmu sihir. Simbolik tanah kubur ini ialah untuk menjadikan kedai makan yang dituju tampak kelam dan suram, seperti tanah perkuburan. Manakala jarum digunakan dengan niat untuk membunuh sesuatu perniagaan atau membunuh seseorang. Konsep ini sama seperti konsep santau angin yang menggunakan jarum.

Inilah akibatnya apabila perasaan hawa nafsu telah menguasai akal dan minda seseorang. Manusia sebegini tak ubah seperti seekor binatang. Sihir didahulukan, nafsu diutamakan.

Teringat aku pada ungkapan Mr Singh didalam cerita Seniman Bujang Lapok arahan Tan Sri P. Ramlee:

"Dia punya nasib, dia makan. You punya nasib, you makan.
Apa salah kita sama sama makan?"


Semoga menjadi pengajaran kepada kita semua.

Ada masalah paranormal? Boleh hubungi aku di adamvai@icloud.com

Mar 25, 2013

Barang Mistik : Besi Kuning Jantan dan Betina

Selain dari melakukan kerja paranormal, aku juga turut melakukan kerja pengesahan barang barang pelik dan lama. Contohnya seperti keris lama, pedang antik, tombak, batu istimewa seperti batu cincin dan sebagainya.

Ini adalah kerana ramai yang mempunyai barangan seperti ini yang tidak tahu mengenai sejarah dan kisah disebalik barangan kepunyaan mereka. Ada yang sekadar ingin bertanya kisah mengenai keris pusaka lama. Ada juga yang ingin aku 'membersihkan' atau 'memulihkan' barangan pusaka lama mereka yang didakwa mempunyai saka dan sebagainya.

Sepanjang bertahun pengalaman aku berkecimpung di dalam bidang seperti ini, terdapat juga beberapa benda pelik telah aku lihat.

Contohnya seperti besi kuning. Secara umumnya besi kuning merupakan satu benda yang jarang ditemui. Walaupun begitu, ada juga sebuah kedai di Jalan Pudu yang menjual dan membeli besi kuning.

Setiap besi kuning dikatakan mempunyai keistimewaan tersendiri. Ada besi kuning yang mampu membuatkan pemakainya kebal dan sebagainya. Sejauh mana kebenaran ini, hanya mereka yang mempunyai barangan ini yang tahu.

Besi kuning ini biasanya dikategorikan mengikut kualiti : ada yang berkualiti rendah dan berkualiti tinggi. Didalam sebiji besi kuning biasa, ianya mengandungi bahan galian yang lain. Sesetengah besi kuning mempunyai peratus mineral yang tinggi, manakala peratus besi kuning didalamnya kurang.

Semakin tinggi peratusan besi kuning didalam bentuknya, semakin tinggi nilai dan kualiti besi tersebut.

Contohnya besi kuning seperti didalam gambar dibawah. Tidak pernah aku lihat besi kuning seperti ini.

Besi Kuning Lebah

Dua biji : Jantan dan Betina
Dua biji besi kuning yang aku lihat ini mempunyai keistimewaan dia tersendiri.

Pemilik besi kuning ini mendakwa dia pernah menjual sebiji kepada seorang pembeli. Tetapi beberapa hari kemudian pemilik tersebut mendapati bahagian yang dijualnya itu berada didalam pegangannya semula.

Ia pulang kembali kepada pemiliknya.

"Pembeli tersebut datang semula menemui saya berkaitan hal tersebut. Saya terpaksa memulangkan semula wang yang telah diberikan. Bukan dia seorang sahaja, tiap kali saya jual, dia kembali semula.", jelas pemilik kepada saya.

"Pernah saya menjual kedua duanya sekali, tetapi besi kuning tersebut tetap kembali kepada saya semula" tambahnya lagi.

Saya berpendapat kemungkinan barangan tersebut hidup dan tidak mahu dijual.

Pemilik besi kuning tersebut yang tidak mahu dikenali ramai, berkata dia mendapat besi itu daripada seorang kenalan di Indonesia.

"Pemilik asal memberitahu saya supaya menjaga besi ini selagi saya masih hidup. Mungkin sebab itulah benda ini tetap kembali kepada saya walaupun dijual"

Sejauh mana kebenaran mengenai besi itu kembali semula kepada pemiliknya, wallahualam. Saya sendiri ingin melihat kejadian seperti itu berlaku di depan mata saya sendiri.

Banyak benda dan perkara didalam dunia ini yang tidak dapat kita jelaskan. Ini ialah kerana kuasa Tuhan Maha Besar. Ada benda yang membuatkan kita kebal, cantik, gagah perkasa dan sebagainya. Walau bagaimanapun kita harus ingat bahawa segala yang ada di dunia ini hanyalah sebagai alatan, segalanya berlaku diatas izin Tuhan.

Segalanya ialah milik Nya. Termasuk kita.

Wallahualam.

Jul 23, 2011

Ilmu Pelaris


Salah seorang sahabat bertanya kepada saya sewaktu kami sedang duduk menikmati minuman petang.

"Bro, kau rasa kedai ni ada menggunakan pelaris tak?"

Saya hanya melihat kawasan kedai dan menggelengkan kepala. Ternyata sahabat saya ini agak fobia dengan kedai kedai makan yang menggunakan pelaris.

Hakikatnya, kebanyakan kedai makan memang menggunakan ilmu pelaris. Tetapi harus saya nyatakan disini bahawa tidak semua ilmu pelaris itu bercanggah dengan ajaran Islam. Ada juga ayat ayat di dalam Al Quran itu boleh digunakan untuk tujuan melariskan sesuatu perniagaan dan membuat makanan menjadi sedap.

Amalan menggunakan pelaris ini sudah lama dipraktikkan oleh orang zaman dahulu kala. Cuma bezanya ialah orang dahulu tidak berapa mengendahkan sama ada ilmu tersebut baik ataupun tidak. Mereka mungkin kurang berpengetahuan didalam perkara perkara sebegitu. Maka ia terpulang pada kita untuk menentukan mana yang baik dan mana yang buruk.

Seorang lagi rakan bertanyakan kepada saya: "Bagaimana kita nak tahu bahawa sesuatu kedai tersebut menggunakan ilmu pelaris yang tidak elok?".

Ikutlah apa yang telah diajarkan oleh Nabi dan ajaran Al Quran. Mulakan dengan Bismillahirrahmanirrahim dan bacalah doa makan sebelum menjamu selera. Insya Allah kita akan dilindungi oleh Nya.


Sent from my BlackBerry® Bold 3 (9780) smartphone